KALAU KORANG SEMUA NAK TAHU MACAM MANA BENGKEL2 DAN LONGKAI (CALLMAN) BOLEH MENIPU KORANG DAN TERLEPAS DENGAN PENIPUAN DIORANG – Baca ni.
LINK BHGN 3 – https://www.speedvending.com.my/?p=2011
Kisah Benar Bahagian 4 – BERGELUT DENGAN PERBICARAAN TTPM
17 Ogos 2020 – Persediaan Hari Pendengaran TTPM pertama.
Aku print Kronologi Kes, dan print semua bukti yang boleh print. Rakaman perbualan dari bengkel, di Kaunter TTPM sampailah ke Rakaman perbualan di KPDNHEP, aku bubuh dalam thumbdrive dan pastikan boleh dimainkan dgn lancar dalam semua komputer tanpa ada audio/video player khusus. Maksudnya semua laptop windows boleh mainkan rakaman tu. Dalam tu ada SEMUA RAKAMAN DARI BENGKEL, KPDNHEP dan KAUNTER TRIBUNAL.
Bukti yang di cetak semuanya aku susun elok-elok letak tag paper ni bukti pertama, bukti kedua dan seterusnya…
Aku cikgu, mengajar pasal ilmu hutan dan ekosistem. Jadi memang tak pernah lah pakai blazer dan tie masa kerja. Tapi untuk mengadap perbicaraan, aku keluarkan blazer aku yang dah lama tak pakai. Iron kemeja siap-siap dan gantung. Malam sebelum perbicaraan, aku tidur tangan atas kepala… macam-macam persoalan bermain. “Kenapalah Polis dan KPDNHEP buat perangai mcm ni, dah lingkup ke sistem keadilan Pengguna kat Malaysia ni? Adakah Insurans dan Bengkel-bengkel ni semua industri terlindung dalam polisi Negara? Sampai bila aku nak lawan? Bila aku nak give-up?” Aku cikgu… aku ajar anak-anak murid aku berkata benar dan tabah. Mahukah aku diorang nampak cikgu diorang mengalah.. Aku cikgu!
Malam tu aku mimpi ayah aku, bersembang dengan aku dalam hutan. Pasal degil, tabah, lawan, sabar dan lain-lain. Dalam mimpi tu pun aku janji dengan ayah aku nak lawan. Pasal ini tak betul. Sekecil-kecil tikus hutan pun kalau kena pijak, dia lawan sampai habis. Patah tangan tak boleh tumbuk – dia tendang dengan kaki. Patah kaki tak boleh tendang – dia tokak dengan gigi. Patah tengkuk sebelum mati tu dia sempat pulak kentut sekali. Aku tersenyum dlm tidur. Terima kasih ayah.
18 Ogos 2020 – Esoknya, dengan dua orang sahabat aku ke Tribunal KPDNHEP. Kes aku sepatutnya pukul 9 seperti yang tertulis dalam eTribunal. Daftar nama, scan MySejahtera dan bagi IC kat kaunter Tribunal. Kerani kaunter bertugas minta BUKTI PENGHANTARAN dari aku. Aku serahkan Surat Akuan Bersumpah yang wakil aku buat. Dia ambik masuk dalam sambil aku berdebar menunggu keputusan orang kat dalam nak terima atau tidak mod penghantaran Borang 1 aku. Dah banyak kali aku baca TRIBUNAL ENGGAN TERUSKAN PERBICARAAN kerana menganggap penghantaran Borang 1 tak lengkap. Semuanya sebab Penentang sendiri enggan terima Pos Daftar Borang 1 yang dihantar oleh posmen atau enggan tandatangan Borang 1 bila Pihak Yang Menuntut serah sendiri.
Tak lama kemudian Kerani bertugas keluar. Dia tanya “Ni, Borang 1 tak dapat ada bukti penghantara lain?” Aku jawab, “ada gambar dalam thumbdrive”. Dia cakap, “nanti tengok Presiden kata apa ye… boleh masuk Bilik 1”
Aku dan konco-konco aku bergerak ke Bilik 1. Takde nampak pulak pihak-pihak penentang. Dalam Bilik perbicaraan ramai jugak orang yang ada. Presiden masuk semua berdiri. Aku duduk dan study dulu prosiding-prosiding yang berjalan. Ambik nota apa yang patut.
Tunggu punya tunggu punya tunggu, dah dekat pukul 11.30am kemudian tiba-tiba Penentang-penentang aku sampai – DENGAN LONGKAI PROTON tu sekali. Tetiba wakil Penentang 1 iaitu Manager Lon-G datang approach aku, sua kat aku BORANG 2 Penentang 2 dari Ideal Globe Auto. Wah… diorang ni berkawan ke. Aku ingat Borang 2 kena serahkan kat aku selewatnya sehari sebelum perbicaraan. Tapi sebab depan Presiden dan sebab aku nak tengok game diorang macam mana, aku terima dan sign. Dia bagi aku satu salinan dan aku pun baca. Salinan yang dia tulis tu dalam bahasa Cina, tapi ada salinan terjemahan. Adehhh… Bahasa melayu pun tak reti tulis ke. Berapa lama dah jadi rakyat daaaaa.
Dalam pernyataan balasnya, Ideal Globe Auto ada menyatakan;
CUSTOMER *******(no kereta aku) TELAH MEMINTA TERLALU BANYAK TUNTUTAN YANG TIDAK MASUK AKAL. DIA MEMINTA KITA MENUNTUT HARGA YANG TINGGI KERANA (STEERING LEG, DRIVESHAFT, ENGINE COMPARTMENT DAN RADIO) JUGA PERLU DIREPAIR. DIA MENYATAKAN SEMUA ITU KEROSAKAN SEMASA KEMALANGAN.
DISEBABKAN OLEH MENJAGA HATI CUSTOMER, KAMI MEMAKLUMKAN DAN MENASIHAT KAN BAHAWA APA YANG INSURANS AKAN BAYAR HANYA MENGIKUT ADJUSTER REPORT DAN GAMBAR ADJUSTER SERTA AKAN COMPARE DENGAN KEROSAKAN KERETA ******* (salah satu kereta yang kemalangan dengan aku) YANG DILANGGAR PADA MASA YANG SAMA. BARULAH PIHAK INSURANS BOLEH TENTUKAN JUMLAH YANG DIBAYAR.
PIHAK INSURANS BAYAR BUKAN IKUT CAKAP CUSTOMER ATAU PIHAK BENGKEL. PIHAK IDEAL GLOBE AUTO MENUNTUT DARI CUSTOMER DOKUMEN SEPERTI BERIKUT; ***********ic & lesen.
PIHAK IDEAL GLOBE AUTO SDN BHD MENGENAKAN CAJ PARKING LOT UNTUK MENJAGA KENDERAAN ********* (kereta aku) PROTON PERSONA SEBANYAK RM50/SEHARI.
Okay… Nampak sangat puak-puak ni nak menipu.
1. Adjuster report aku minta dia tak pernah tunjuk. Anggaran dan senarai kerosakan juga aku minta tapi tak pernah dibagi. Ada terbukti dalam rakaman yang aku masukkan sebagai bukti.
2. Aku tak pernah suruh Ideal Globe Auto tuntut apa-apa bagi pihak aku. Apatah lagi nak suruh diorang tuntut Steering Leg, Driveshaft, Engine Compartment dan Radio. Aku cuma pernah persoalkan ketidakpatuhan piawaian pembaikan dan ketidakselamatan kereta aku berada dijalan raya hasil kerja-kaki diorang. Nak kata kerja tangan pun macam hampeh kereta aku dibaiki. Point of the case, memang aku tak nak diorang hantar dan tuntut pon. Aku nak direpair kat Proton dan aku nak tuntut sendiri dari awal, bukan diorang tuntut. Mana bukti aku nak suruh diorang tuntut apa-apa?
3. Dia konon nak takutkan aku dengan tuntutan balas dia, baik.. aku akan buat tuntutan balas kepada tuntutan balas dia.
Hampir pukul 12 Kes aku bermula. Aku bagi Kronologi kes, bukti bercetak dan bukti dalam thumbdrive semua. Mula-mula sekali Presiden Tribunal baca sikit.. lepas tu tanya aku mana geran kereta? Aku cakap ada yang Original. Dia nak copy satu. Lepas tu dia cakap, Kronologi kes aku ni panjang, dia minta masa untuk baca dan digest dan tengok bukti semua dulu. Sementara tu aku boleh fotostat geran kereta dan cetak gambar kereta selepas “repair” Ideal Globe Auto. Ada dalam thumbdrive tapi dia nak yang bercetak jugak. Kemudian dia tangguh utk lunch dan akan bersidang selepas ni.
Penentang-penentang aku BISING DALAM TRIBUNAL beramai-ramai bila Presiden minta tangguh untuk lunch. Macam budak sekolah darjah 4 yang dibagi homework tambahan. Pakat-pakat sound off kata diorang banyak kerja la, tak de masa nak datang balik la, kutuk aku tak bawak bukti cukup la dan lain lain lagi provokasi. Presiden cakap, sekarang pun masa lunch dan masa untuk makan. Dia dengar juga kes ni walau pun dah masa lunch sebab nak selesaikan secepat mungkin. So, dia bagi masa sampai pukul 2.30 Petang.
Aku dengan sahabat-sahabat aku bergegas ambil geran untuk photostat, nak transfer gambar ke thumbdrive lagi dan nak print apa yang Presiden tribunal minta. Perjalanan 30 minit kitaorang semuanya agak drained dan letih. Kami berpendapat yang diorang seberani tu dan tidak ada tatasusila dalam Tribunal dari segi pakaian, dari segi disiplin dan lain-lain tu sebab diorang tak hormat undang-undang langsung. Ini lah akibatnya ilmu sivik dan ilmu pengetahuan am undang-undang dan tatacara tak di tekankan diperingkat sekolah. Agaknya kerajaan lebih suka rakyat tak tahu tatacara dan prinsip undang-undang, kalau tak dah lama diajar dalam sekolah. Aku makin nekad – LAWAN SAMPAI HABIS!
Aku hampir sampai balik lewat ke Tribunal sebab masa singkat dan perjalanan yang agak jauh. Tapi sebelum terlewat aku dah call Tribunal bagi tahu aku mungkin lewat 10 Minit. Akhirnya sempat sampai dan perjalanan kes bersambung.
Presiden nyatakan awal-awal.. Banyak statement dalam Kronologi kes ni. Dia nyatakan dia ambik kronologi kes ni sebagai kenyataan bertulis aku dalam Tribunal dan dia akan tengok bukti-bukti semua. Tapi dia bagi amaran awal “DIA TAK PASTI BOLEH TERIMA KE TAK KES NI SEBAB URUSAN TUNTUTAN INSURANS DI BAWAH OMBUDSMAN PERKHIDMATAN KEWANGAN.”
Jeng jeng jenggggg… Bunga-bunga Tai chi dah keluar.
Aku potong cakap, “Saya dah tanya Ombudsman, menurut diorang ini bukan urusan diorang. Diorang cuma handle pertikaian antara orang awam dengan institusi kewangan. Ini pertikaian antara orang awam dengan Bengkel..” Dia cuma jawab, “nanti kita tengok macam mana.” Tak nak bagi komitmen lagi, agaknya nak siapkan exit strategy dia kalau-kalau bos-boSS-BOSS dia kat atas suruh buang case ni.
Dia juga nyatakan, “Encik kena tahu ye, saya kenal dengan KPDNHEP dan Tribunal Shah Alam ni semua, ye.. sebab saya pun ada ke sana juga” .. Aku angguk je. Agaknya dia bagi warning sbb dalam kronologi kes tu alu cakap aku diperkotak-katikkan oleh beberapa jabatan termasuk KPDNHEP dan dah tak percaya kat Cawangan Shah Alam.
Teringin nak tanya kenapa pulak POLISI BENARKAN TUNTUTAN TRIBUNAL DI KAUNTER BERBEZA DENGAN POLISI TERIMA TUNTUTAN eTRIBUNAL? Tapi aku rasa soalan tu tak membantu kes aku pun. Dimasa depan, kalau aku masih ada daya dan bila aku menulis tentang ni, biarlah orang awam dan rakyat tanya soalan tu kat KPDNHEP dan Menteri sendiri. Tribunal dan Kementerian semua tertakluk kepada Polisi yang Pak Menteri dan Kabinet tetapkan. Kita pun sedia maklum betapa “boleh harapnya” Pak-Pak Menteri dalam urusan macam ni.
Presiden suruh pula Penentang 1 iaitu Lon-G bagi kenyataan. Menurut dia;
1. Lon-G cuma repair kereta Proton yang cover Comprehensive (1st Party Insurance) sahaja.
2. Longkai tersebut adalah callman (LONGKAI) bebas bukan pekerja Lon-G atau Proton. Callman bebas MEMANG BIASA ADA BEBERAPA KAD PERNIAGAAN BERTULIS NAMA CALLMAN MEWAKILI LAIN-LAIN BENGKEL. Perkara biasa kalau seorang longkai ada kad nama dia mewakili beberapa bengkel tak kira jenama apa.
3. Pihak Yang Menuntut hantar dokumen kereta keesokan hari lepas hantar (3hb November 2019). Pada masa itu Lon-G dapat tahu kereta berkenaan cover bawah 3rd party dan tak boleh teruskan tuntutan. (SALAHNYATA)
4. Lon-G suruh LONGKAI berkenaan keluarkan kereta dan bincang dengan Pihak Yang Menuntut mana nak hantar kereta.
Kemudian LON-G pulak panggil SAKSI dia untuk bagi kenyataan iaitu LONGKAI dia sendiri. HAHAHAHAHAH Adehhhhh… Conflict of interest sungguh.
Kena duduk kandang saksi. Dia pun angkat sumpah segala – menyatakan yang benar dan hanya yang benar sahaja. Ceeeewah… bersimpul urat kentut aku dengar orang sumpah palsu. Berikut keterangan LONGKAI PROTON SEBAGAI SAKSI;
1. Saya ambik Pihak Yang Menuntut dari rumah bawa ke Lon-G jumpa kerani dan serah kereta di Lon-G.
2. Pihak Yang Menuntut TIDAK BAWAK DOKUMEN LANGSUNG masa tu (cakap dengan nada seolah-olah ini kesalahan besar dari pihak aku)
3. Sepatutnya owner bawak dokumen lengkap masa nak ke Bengkel. (Hahahahaha adei…)
4. Saya yang hantar owner pulang selepas Pihak Yang Menuntut tinggalkan kereta di Bengkel Lon-G.
5. Saya bagitahu Pihak Yang Menuntut supaya hantar dokumen melalui emel ke Lon-G pada hari yang sama.
6. SAYA BAGI TAHU OWNER KALAU LON-G REJECT SEBAB 3rd Party INSURANCE, DIA AKAN BAWAK KERETA KE 3rd Party WORKSHOP. (Haaaa…. Tipuuuuuu … Berdose tawww)
7. Lepas Lon-G reject untuk repair, bawak ke Ideal Globe Auto dan tanggungjawab Ideal Globe Auto untuk maklumkan kepada Pihak Yang Menuntut.
Presiden tanya, Bengkel IDEAL GLOBE AUTO yang awak hantar tu tak ada Pendaftaran PIAM?
Longkai menjawab, “Bengkel 3rd Party yang saya hantar tu tak perlu PIAM, sebab Bengkel 1st Party sahaja yang perlu PIAM.
OKEYYYY.. Jadi argument LON-G sebagai Penentang 1 dengan saksi setia dia, dirumuskan seperti berikut:
A. Pihak Yang Menuntut (aku ler) TELAH SALAH tidak memberikan dokumen kepada Bengkel sebaik sahaja menyerahkan kereta. Lon-G terima dokumen kereta SEHARI SELEPAS kereta tu dihantar ke Bengkel. – Ini adalah MENIPU DALAM TRIBUNAL. Sebab aku ada bukti aku hantar dokumen hari yang sama.
B. Lon-G tidak dapat menerima kereta Pihak Yang Menuntut kerana Polisi Syarikat Lon-G iaitu hanya menguruskan tuntutan 1st Party Insurance.
C. Pihak Yang Menuntut TELAH MEMBERIKAN IZIN KEPADA LONGKAI, sekiranya Lon-G reject atas sebab kereta Pihak Yang Menuntut tu 3rd Party Insurance, LONGKAI boleh hantar mana-mana bengkel yang buat 3rd Party insurance claim yang dia suka tanpa memaklumkan Pihak Yang Menuntut.
Hadeiiiiiii….
Cuba korang sendiri nilai argument Lon-G nih.. hahahaha.
Aku baca sekilas lalu nota-nota yang aku trengkas, sahabat aku seorang juga ada mengambil nota serentak dengan aku dalam semua kata-kata pihak lawan. Aku bandingkan dan aku sahkan yang aku tak salah tulis. Aku susun siap-siap hujah balas aku, kalau-kalau Presiden minta.
1. Lon-G biasa berurusan dengan LONGKAI tersebut, bukan aku. Lon-G yang membayar komisen LONGKAI tersebut bukan aku, ini diakui Lon-G sebentar tadi dalam keterangan dia. Lon-G juga TAHU LONGKAI ITU MENGGUNAKAN KAD NAMA PERNIAGAAN MEWAKILI LON-G! Slip yang Lon-G bagi kepada aku juga ada tulis nama LONGKAI tersebut, menandakan kebiasaan hubungan agensi antara Lon-G dengan Longkainya.
Maka pihak yang ada hubungan prinsipal-ejen dengan LONGKAI mengikut undang-undang agensi, Akta Kontrak 1950 Seksyen 140. LONGKAI BUKAN EJEN AKU. LONGKAI tu ejen Lon-G. Aku adalah Pelanggan yang dicari oleh LONGKAI bagi keuntungan LON-G.
2. Aku dah bagitahu LONGKAI, dengan kedudukan dia sebagai EJEN Lon-G yang kereta aku insurance 3rd party. Aku tanya dia berapa banyak agak-agak aku nak kena bayar, SEBAB MENGIKUT PROTOKOL, OWNER KERETA INSURANS 3RD PARTY KENA BAYAR SENDIRI kos bengkel baru claim dekat Insurans pihak lawan. Berapa Insurans tu nak lulus tertakluk kepada laporan adjuster yang dipanggil oleh bengkel, berapa jumlah anggaran kerosakan yang bengkel bagi sebutharga dan berapa jumlah yang aku bayar kepada bengkel, semua diambil kira termasuk loss of use dan betterment kereta.
Jadi apa rasionalnya aku nak lepaskan kereta aku kat bengkel cacamerba yang tak ikut piawaian apa-apa, sedangkan aku tahu aku kena bayar sendiri? Kalau Lon-G tak nak buat kereta aku, banyak lagi Bengkel Authorise Proton nak duit cash aku, kenapa aku nak izinkan pergi Ideal Globe Auto?
3. Sebuah bengkel yang sudah menerima kereta pelanggan, kemudian memutuskan tak mahu membaiki kereta pelanggan tersebut (nak membatalkan kontrak secara sah), Adakah bengkel tu sepatutnya memberitahu pelanggan atau melepaskan kereta pelanggan kepada ejennya sendiri untuk dihantar ke bengkel lain sesuka hati ejennya? Kalau pun ejen dia kata, aku bagi kebenaran hantar bengkel lain, MANA BUKTI AKU BAGI KEBENARAN? Mengubah hartabenda orang lain ni satu liabiliti besar kalau tak ada hitam putih. Bengkel bukan boleh buat suka-suka hati apatah lagi syarikat besar dan wakil Proton, anak syarikat DRB-Hicom Berhad. Last paper trail aku adalah LON-G terima kereta aku. Maka dia lah kena bertanggungjawab sedikit sebanyak. Ini semua jatuh dalam Akta Kontrak 1950. Beban bukti pada Lon-G untuk buktikan aku setuju hantar bagi izin keluarkan kereta aku ke bengkel sesuka hati LONGKAI selaku ejennya. Nampak sangat menipunya aku bagi izin.
Belum sempat Presiden panggil penentang kedua, dia cakap cukup setakat ini dulu Pendengaran harini. Dia akan sambung pada 24 September 2020 pulak. Budak-budak dalam kelas bising lagi macam takde tatasusila dan adab. Aku buat dono jer.
Dah nak masuk setahun kereta aku ditahan lah maksudnya. Begitulah seorang rakyat yang MENURUT SALURAN YANG TEPAT bak kata Pak Menteri.
Sambung Bahagian 5….
LINK BAHAGIAN 5 : https://www.speedvending.com.my/?p=2028
Leave a Reply